Dedah nama syarikat kawalan keselamatan – Pas

by
tuan

Jobs
http://www.kualalumpurpost.net/jobs/

Advertisement enquiries
http://www.kualalumpurpost.net/advertisement/

SHAH ALAM – Susulan insiden tembak mati seorang pegawai operasi bank kelmarin, Pas hari ini menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan nama syarikat yang menggaji pengawal keselamatan tersebut.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendedahan nama syarikat tersebut wajar dilakukan bagi memberi amaran kepada syarikat keselamatan yang lain untuk mematuhi peraturan sedia ada.

Beliau berkata tindakan KDN hanya mengisytiharkan bahawa syarikat tersebut telah digantung lesennya sebagai tidak memadai.

“Dedahkan nama syarikat keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank.

“Sebagai langkah permulaan untuk menunjukkan KDN serius menangani masalah ini, Pas mengesyorkan agar KDN mendedahkan nama syarikat terbabit sebagai amaran kepada syarikat-syarikat keselamatan yang lain untuk mematuhi peraturan yang sedia ada,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Semalam, KDN telah membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN Datuk Alwi Ibrahim berkata, syarikat berkenaan didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan pengendalian serta pengurusan agensi persendirian di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

“Kementerian mendapati syarikat kawalan keselamatan itu mempunyai lesen untuk menggaji pengawal keselamatan yang menggunakan senjata api tetapi pengawal keselamatan (suspek) itu tidak ada lesen membawa senjata api.

“Selain itu, syarikat kawalan keselamatan itu baru mengemukakan permohonan untuk membuat tapisan keselamatan bagi pegawal keselamatan terbabit (suspek) pada hari ini. Sehubungan itu, KDN memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat berkenaan,” katanya

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, banyak persoalan yang timbul daripada prosedur menggaji pegawai keselamatan itu, menurut sumber Sinar Harian.

“Antaranya bagaimana pegawai keselamatan yang memiliki IC palsu? Berapa lagi orang yang memiliki IC palsu di negara ini, ini di bawah tanggungjawab KDN untuk menjawab kepada rakyat,” ujarnya.